Tinggalkan komen

Khalwat & Padahnya

Islam mengharamkan lelaki dan wanita yang tidak berkahwin duduk berdua-duaan apatah lagi di tempat yang tersembunyi kerana ia boleh mendatangkan fitnah dan masalah. Hukum Islam ini begitu relevan dengan suasana pada hari ini sebagai contoh, di Amerika 57% daripada kes-kes rogol berlaku ke atas wanita yang sedang bertemu janji dengan pasangan lelakinya. Hal ini dilaporkan oleh Rape and Abuse Crisis Center of Fargo-Moorhead (2004).

 


Justeru antara nasihat dan peringatan yang diberikan kepada remaja-remaja Amerika pada hari ini bagi menghindari rogol temujanji (date rape) adalah, “Semasa bertemu janji, jauhi tempat-tempat yang tersorok. Jangan bersunyi dengan lelaki yang membuat anda rasa gelisah dan tidak selesa.” Nasihat ini dipaparkan di laman TeensHealth di kidshealth.org

 

 

Sebenarnya lebih daripada 1400 tahun dahulu Nabi berkata, “Sesiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah dia bersendirian dengan seorang wanita di suatu tempat tanpa disertai mahramnya, kerana sesungguhnya yang ketiganya adalah syaitan.” Hadis ini direkodkan oleh Ahmad.

 

Dunia dengan seks bebasnya sememangnya sedang mendekati kehancuran Hari Kiamat. Nabi berkata, “(Antara tanda-tanda kiamat adalah) perbuatan zina akan berleluasa.” Hadis ini direkodkan oleh Bukhari dan Muslim.

 

 

 

Dr Danial Zainal Abidin Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran daripada Teropong Sains (2010)

Tinggalkan komen

Harapan Terakhir Hanya Kepada Allah

Sekiranya diberikan kesempatan untuk berada hampir dengan Allah SWT sudah tentu setiap manusia ingin menegjar peluang tersebut. Justeru solat yang difardukan kepada kita adalah anugerah terbesar Allah kerana hanya dalam solat seorang hamba dapat berada paling dekat dengan penciptaNya. Menyedari betapa berharganya anugerah ini, solat tidak hanya wajib dilakukan ketika senang dan aman tetapi ia tetap wajib walaupun ketika peperangan dan kacau bilau.


Menarik untuk difikirkan mengapa musafir boleh mendapat keringanan menghimpunkan solatnya dalam waktu lain sedangkan orang atau tentera yang berada dalam keadaan huru hara peperangan tidak mendapat keringanan tersebut. Secara logiknya, sudah tentu askar yang berperang lebih perlu mendapat keringanan menangguhkan atau mendahulukan solatnya dalam waktu solat lain. Dalam kegawatan seperti ini, bukan hanya solat yang dilakukan tidak khusyuk tetapi nyawa juga mungkin melayang. Tetapi sekiranya difikirkan kembali, seorang hamba yang berada ditengah-tengah muntahan peluru raifal, rejaman roket-roket dan letupan bom, sudah tentu pada saat tersebut dia paling mengharapkan bantuan dan perlindungan.

 

 

Sesiapa sahaja yang berada dalam situasi telur di hujung tanduk seperti ini akan meletakkan seluruh harapannya pada satu kuasa tertinggi untuk melindungi dan membantunya. Dalam keadaan genting, keperluan seorang hamba terhadap Allah Yang Maha Tinggi berada pada tahap maksimum. Ketika inilah solat sangat penting kerana ia adalah medim untuk seorang hamba mendekati Tuhannya bagi meminta pertolongan. Justeru solat yang dilakukan ketika ini sudah tentu lebih khusyuk daripada yang dilakukan dalam keadaan aman.

 

Selain itu, solat juga menjadi peranan besar sebagai azmat untuk memotivasikan pejuang-pejuang ini agar istiqamah dengan perjuangan mereka. Walaupun solat dalam peperangan tidak boleh dihimunkan dengan solat lain tetapi Allah Yang Maha Pengasih memberikan keringanan untuk mereka mengerjakan solat dengan syarat-syarat berbeza dengan solat biasa. Ini adalah gambaran toleransi Allah kepada hamba-hamabaNya.

 

Solat yang diperkatakan adalah Solat Khauf yang dilakukan dalam keadaan berperang dengan musuh atau dalam keadaan ketakutan akibat peperangan atau bencana alam dan malapetaka lain.

 

 

 

Rohidzir Rais, Fuad Ismail & Mohd Wahid Abd Hanif Ensiklopedia Solat: Kombinasi Fakta Hukum & Sains (2011)

Tinggalkan komen

Padah Maksiat

Bersikap warak dan meninggalkan sesuatu yang haram tidak merugikan umat Islam sedikit pun sebaliknya ia mendatangkan keuntungan. Hal ini disebabkan setiap sesuatu yang haramkan pasti mempunyai kemudaratannya. Dalam surah al-A’raf ayat 157 Allah menjelaskan, “Dan (Dia) menghalalkan bagi mereka segala yang baik serta mengharamkan bagi mereka segala yang keji.”


Justeru rugilah mereka yang bergelumang dengan maksiat. Berhubung dengan ini, Nabi berkata, “Sesungguhnya Allah mengharamkan rezeki ke atas seseorang yang melakukan maksiat. Dan tidak ada sesuatu yang mampu menolak takdir melainkan doa dan tidak akan bertambah umur melainkan dengan melakukan kebaikan..” Hadis ini direkodkan oleh Ahmad, an-Nasai dan Ibn Majah.

 

 

Demikian juga keadaannya dengan kota atau negeri yang penduduk-penduduknya bergelumang dengan maksiat. Alah menimpakan bala serta menyempitkan pintu-pintu rezeki ke atas penduduk-penduduk itu. Berhubung dengan ini Allah menjelaskan dalam surah an_nahl ayat 112 yang bermaksud, “Dan Allah membuat satu perumpamaan dengan sebuah negeri yang dulunya aman lagi tenteram, rezeki datang secara mencurah-curah daripada segenap tempat, tetapi penduduknya mengingkari nikmat-nikmat Allah. Kerana itu Allah menimpakan pakaian kelaparan dan ketakutan ke atas mereka disebabkan apa yang mereka lakukan.”

 

Antara contoh yang dapat kita jadikan iktibar adalah kaum Lut di Kota Sodom. Nabi Lut diutus bagi menyampaikan risalah Allah kepada mereka. Namun mereka menolak dakwah Nabi Lut dan bergelumang dengan amalan seks bebas. Kesannya adalah Allah memusnahkan mereka dan kesan kehancuran kaum Lut ini ditemui di kawasan Laut Mati. Berhubung dengan ini, dalam surah Hud ayat 82 Allah menjelaskan, “Maka apabila datang azab Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu yang diatas ke bawah (yakni Kami balikkan) dan Kami hujani mereka dengan batu-batu daripada tanah yang terbakar secara bertubi-tubi.”

 

Azab yang menyebabkan kota kaum Lut dibalikkan selari dengan kejadian gempa bumi dan azab berbentuk hujan batu tanah yang terbakar pula selari dengan kejadian letupan gunung berapi. Semasa mengkaji kesan kehancuran kaum Lut di kawasan Laut Mati, pakar arkeologi dari Jerman, Werner Keller mengesahkan kejadian kedua-dua malapetaka ini. Beliau berkata, “Kehancuran kaum Lut berlaku disebabkan oleh satu gempa bumi yang kuat diikuti dengan lettupan besar, kebakaran dan pengeluaran gas.” hal ini dinyatakan oleh Harun Yahya di dalam Perished Nations.

 

 

 

Dr Danial Zainal Abidin Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran daripada Teropong Sains (2010)

Tinggalkan komen

Selama lebih 2000 tahun jintan hitam, tanaman daripada keluarga Ranunculaceae (buttercup), secara tradisional digunakan oleh pelbagai masyarakat di seluruh dunia. Ia digunakan sebagai ubat semulajadi bagi mengatasi pelbagai penyakit dan meningkatkan daya tahan tubuh.

 


Golongan Mesir kuno menggunakan biji jintan hitam dan menyebutnya sbagai ubat mujarab iaitu ubat untuk pelbagai masalah dan penyakit. Bahkan, Raja Tutankhamun memiliki sebotol minyak ini di dalam kuburnya. Semua benda yang ditemui dalam makam raja-raja adalah berharga untuk mereka ataupun memiliki kepentingan yang bererti. Bangsa Rom juga begitu kenal dengan benih ini dan menyebutnya sebagai ketumbar Yunani. Biji jintan hitam banyak digunakan sebagai makanan tambahan. Pada abad pertama, Dioscoredes, seorang doktor Yunani merekodkan data tentang penggunaan biji jintan hitam bagi mengubati sakit kepala, hidung, sakit gigi dan masalah cacing.

 

 

Biji jintan hitam juga disebutkan dalam Al-Kitab iaitu dalam Islah 28:25-27 sebagai fitches. Ini memberikan bukti lebih lanjut tentang kepentingan ramuan ini ketika bahan kimia yang merosakkan tubuh yang kebanyakan orang ketika ini mengambilnya sebagai gula-gula tidak tersedia. DI barat, Ibnu SIna dikenali sebagai Avicenna. Beliau menulis risalah perubatan besar iaitu The Canon of Medicine dan menyatakan biji jintan hitam merangsang tenaga untuk tubuh dan membantu memulihkan masalah keletihan.

 

Menurut kajian sejak tahun 1959, lebih daripada 200 kajian dilakukan di universiti-universiti antarabangsa dan pelbagai artikel diterbitkan menerusi pelbagai jurnal menunjukkan hasil yang luar biasa terhadap penggunaan secara tradisional biji jintan hitam ini. Ia mengandungi lebih daripada 100 zat penting yang terdiri daripada 21% protein, 38% karbohidrat, dan 35% lemak dan minyak tanaman. Bahan-bahan aktif seperti Nigellone, Thymoquinone dan Fixed Oil juga mengandungi khasiat penting dalam membekalkan vitamin B3 dan C.

 

Biji jintan hitam adalah herba yang baik dan bayak manfaat terutamanya bagi mempertahankan sistem pertahanan yang kuat da sihat. Ia berguna bagi mereka yang menderita penyakit asma dan masalah pernafasan, masalah ginjal atau hati, pencernaan dan masalah perut, radang sendi, masalah peredaran darah, alergi, demam, dan jerawat. Ia juga tidak memiliki kesan sampingan dan memiliki sejarah penggunaan selama beberapa ribu tahun. Cara pengunaan biji jintan hitam biasanya dalam keadaan kapsul atau cecair (minyak jintan hitam) juga dalam bentuk wap.

 

 

 

Jerry D Gray Rasulullah Is My Doctor (2013)

Tinggalkan komen

Fitrah Biologi Emosi

Dari Saidatina Aisyah r.a. “Rasulullah SAW seperti tidak mengenali kami ketika hampir masuk waktu solat dan kami juga tidak mengenali Baginda.” Begitulah keadaannya emosi Baginda Nabi SAW dan juga para sahabat apabila hampir masuk waktu solat. Mereka ‘mementingkan diri sendiri’ ketika hampir masuk waktu solat.

 


Sebagai perbandingan, secara fitrah biologi emosi saraf autonomik akan terangsang apabila emosi berada dalam ketakutan dan gementar seperti apabila akan memasuki dewan peperiksaan, akan ditemuduga, akan berjumpa orang penting di mana badan akan berpeluh, sejuk tapak tangan, terasa ingin buang air besar atau kecil, peru sebu atau hati merasa kecut.

 

 

Inilah yang dirasai oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya apabila tahu akan ‘berjumpa’ dan berkomunikasi dengan Allah SWT ketika solat. Apabila solat telah menjadi agenda penting ia akan dilaksanakan sebaik mungkin dan melupakan terus perkara-perkara lain yang kurang penting. Maka berusahalah untuk solat berjemaah, mengambil wuduk secara sempurna dan tidak berbual-bual. Sebelum solat, kita mula memberi tumpuan kepada azan yang berkumandang. Berlatihlah menghayati seruan azan yang membesarkan Allah, seruan mengajak untuk solat dan mencapai kejayaan yang kekal. Elakkan sebarang perbualan dengan rakan-rakan juga elakkan dari berkomunikasi dengan telefon bimbit selepas berwuduk.

 

Cuba khusyuk ketika solat sunat qabliah dan jika msih berbual-bual selepas iqamah, peluang untuk tidak khusyuk sangat tinggi dan membaca surah An-Naas beberapa kali sebelum dan selepas iqamat. Inilah masanya kita mengambil ‘mood’ untuk khusyuk. Secara praktikalnya kaedah ini kelihatan agak ideal, tetapi itulah dia manusia secara fisiologinya amat mudah terganggu fikiran dengan perkara yang remeh temeh. Jika kita mampu disiplinkan diri untuk masuk dewan peperiksaan dan menjalani temuduga mengapa tidak kita disiplinkan diri untuk menghadap Allah SWT ?

 

 

 

Dr Yusof Abbas Biomekanik Solat: Kaedah Kemahiran Khusyuk Melalui Fitrah Biologi dan Satu Kaedah Terapi (2007)